Hukum Penggunaan Bitcoin Sebagai Medium Untuk Bermu'amalat
- kempen anti moneygame
- Sep 19, 2017
- 2 min read

ISU:
Saya mahu mengetahui status terkini berhubung penggunaan Bitcoin sebagai medium untuk bermu'amalat. Saya melihat perkara ini perlu diberi penekanan memandangkan sudah ada rakyat Malaysia yang menggunakannya. Penggunaan yang meluas seperti ini dilihat mampu membawa kepada bahaya yang lebih besar jika tidak ada status tentang hukum penggunaannya. Saya melihat seolah-olah sistem ekonomi sekarang sangat mudah. Oleh itu, besar harapan untuk dilihat status hukum tentang penggunaannya memandangkan penghasilan Bitcoin sangat meragukan untuk dijadikan matawang.
PENJELASAN:
Bitcoin merupakan satu bentuk matawang digital (digital currency) yang mula diperkenalkan sekitar tahun 2008 oleh penciptanya, Satoshi Nakamoto. Satu kertas ditulis dan disebarkan di internet pada November 2008 dengan tajuk “Bitcoin: A Peer-to-Peer Electronic Cash System”. Kemudian, pada Januari 2009, rangkaian Bitcoin mula dilancarkan.
Berbeza dengan matawang kertas, Bitcoin adalah matawang elektronik sepenuhnya yang tidak datang dalam bentuk fizikal. Bitcoin juga tidak dikawal selia oleh mana-mana badan atau institusi sebagaimana kebiasaan matawang-matawang lain. Disebabkan tiada kawalan daripada mana-mana badan berautoriti, banyak transaksi Bitcoin yang dijalankan oleh pengguna gagal yang menyebabkan kerugian terhadap pengguna. Satu kajian menunjukkan bahawa 40% daripada transaksi pertukaran Bitcoin tidak berjaya dan membawa kerugian kepada penggunanya.
Dari perspektif syariah pula, beberapa perkara perlu diambil perhatian berkenaan penggunaan Bitcoin sebagai matawang. Kita boleh melihat penggunaan Bitcoin dari sudut hukum fiqah dan juga dari sudut ekonomi Islam. Dari sudut hukum fiqah, Bitcoin adalah matawang yang tidak datang dalam bentuk fizikal, justeru qabd (possession) kepada matawang ini hanya berlaku secara hukmi sahaja dan tidak akan berlaku secara fizikal. Hukum-hakam qabd hukmi (constructive possession) hendaklah dipatuhi, contohnya selepas berlaku qabd, maka tanggungan akan bertukar tangan, dan penerima mempunyai hak sepenuhnya untuk menggunakan Bitcoin yang diperolehinya.
Sebagai suatu matawang maka ia terikat dengan hukum-hakam al-Sarf jika sekiranya ia melibatkan pertukaran matawang dengan matawang atau pembelian item ribawi seperti emas dan perak. Jika sekiranya pembelian dengan Bitcoin melibatkan item ribawi seperti emas, maka pembayaran hendaklah dilakukan 'on the spot' ketika transaksi jual beli.
Begitu juga jika transaksi melibatkan pertukaran antara Bitcoin dengan matawang lain, maka hendaklah dilakukan tanpa ada sebarang penangguhan.
Dari sudut ekonomi Islam pula, walaupun Bitcoin dikatakan sebagai satu matawang tetapi ia sebenarnya tidak berasaskan kepada apa-apa aset sebagai dasar. Justeru ia begitu terdedah kepada spekulasi. Kerana itu harga satu unit Bitcoin boleh naik secara mendadak dari tahun ke tahun. Pada 2010, satu unit Bitcoin adalah bernilai USD 0.01. Kini pada tahun 2014, satu unit Bitcoin adalah bernilai melebihi USD550. Begitu juga pada awal tahun 2011, kenaikan nilai Bitcoin dalam sehari direkodkan antara 5-10%. Dan begitu juga sebaliknya ia boleh turun secara mendadak. Dari perspektif ekonomi Islam, antara ciri-ciri matawang ialah suatu yang nilainya stabil dan boleh dijadikan ukuran untuk aset-aset lain.
Kesimpulannya, dari sudut ekonomi Islam Bitcoin tidak sesuai dijadikan matawang kerana boleh dimasuki unsur spekulasi yang melampau. Nilainya juga tidak stabil dan boleh naik secara mendadak. Ia juga tidak dikawal oleh mana-mana badan berautoriti.
Wallahu A’lam.
sumber
http://web.archive.org/web/20150122215500/http:/www.e-fatwa.gov.my/blog/hukum-penggunaan-bitcoin-sebagai-medium-untuk-bermuamalat
Kommentare